PEMANJANGAN JANGKA HAYAT BUAH DURIAN BELANDA MENGGUNAKAN SINARAN GAMA
Abstract
Abstrak
Kerosakan lepas tuai buah durian belanda yang disebabkan serangan lalat buah dan jangka hayat penyimpanan yang singkat menyebabkan pasaran durian belanda tidak meluas. Kajian ini dijalankan untuk mengkaji potensi pemanjangan masa penyimpanan dan kesan sinaran gama ke atas buah durian belanda dari aspek perubahan kimia dan fizikal buah. Buah durian belanda diperoleh segar dari ladang dan disinarkan pada dos (kGy): 0.2, 0.4, 0.6, 0.8, 1.0, 1.5, 2.0 dan 2.5. Kesan sinaran dilihat dan diukur pada hari pertama, ke-3, ke-6 dan ke-9 selepas disinarkan. Kesan fizik dan kimia yang diuji termasuklah pengukuran terhadap perubahan berat, kekerasan, nilai pH, kandungan gula dan vitamin C dan dibandingkan dengan buah kawalan menerusi ujian-t. Penambahan masa ujian sehingga hari ke-12 turut dilakukan ke atas buah yang disinar pada dos rendah berdasarkan dapatan sebelumnya. Hasil kajian ke atas semua buah yang disinarkan mendapati berlaku penurunan berat buah, perubahan kekerasan buah dan perubahan kandungan vitamin C serta peningkatan kandungan gula. Seterusnya, ujian statistik mendapati rawatan sinaran tidak memberi kesan yang signifikan terhadap kebanyakan parameter kecuali perubahan vitamin C. Selain itu, pemerhatian fizikal menunjukkan penyinaran dos 1.0 hingga 2.5 kGy tidak sesuai digunakan bagi buah durian belanda untuk pemanjangan jangka hayat buah kerana dos sinaran tersebut menyebabkan buah tidak masak sempurna dan rosak sepenuhnya pada hari ke-9. Kesimpulannya, dos sinaran yang optimum bagi buah durian belanda adalah 0.6 kGy, manakala masa penyimpanan buah durian belanda berjaya ditingkatkan sehingga 12 hari.
Kata kunci: Durian belanda; jangka hayat; kualiti buah; sinaran gama
Abstract
Postharvest problem of soursop fruit due to the attack of fruit flies and short shelf life has been an issue for the fruit to be marketed widely. The purpose of the research is to find the potential on the shelf life elongation of soursop fruit and evaluate the effects of gamma irradiation on soursop fruit from chemical and physical aspects. Soursop fruit was collected fresh from the farm and irradiated at dose (kGy): 0.2, 0.4, 0.6, 0.8, 1.0, 1.5, 2.0 and 2.5. The effect was observed and measured on day 1, 3rd, 6th and 9th after irradiated. The measured parameters includes changed of weight, hardness, pH value, sugar content and vitamin C. The results found that reducing the weight of the irradiated fruit, the hardened fruit and the delayed production of vitamin C and sugar content. Furthermore, this study also found no significant changes in the pH value. The fruits that irradiated from 1.0 kGy to 2.5 kGy is not suitable for lengthening the shelf life of the fruit because the dosage makes the incomplete fruit ripen and fully damage by day 9th. As a conclusion, optimum irradiation dose for the soursop fruit is 0.6 kGy, while the shelf life of the fruit can be extended up to 12 days.